Friday, April 24, 2009

Sinopsis Hikayat Indera Nata

Nama: Yusrizan Bin Yunus

No Matriks: 27083038

Email: aureolamoda@yahoo.com

Fakulti: Filem & Video

Subjek: Salasilah Penceritaan

Tugasan: KARYA SASTERA KLASIK

Tajuk Karya: HIKAYAT INDERA NATA

Penyelenggara: Wahyunah Hj Abd Ghani

Transliterasi: Salim Hj Taib

Dewan Bahasa Dan Pustaka/2004/ 193 halaman

Sinopsis Hikayat Indera Nata

Hikayat ini bermula dengan kisah seorang raja yang dinamakan sebagai Raja Rom, seorang raja yang adil dan bijaksana. Baginda mangkat dan meninggalkan seorang putera iaitu Raja Muda. Kemangkatan baginda secara tidak langsung menabalkan Raja Muda kepada Raja Rom yang baru.

Suatu hari, Raja Rom yang baru itu pergi keluar berburu. Baginda terserempak dengan seekor kijang putih bertanduk emas lantas baginda cuba mengejar haiwan tersebut. Ketika itulah baginda terpisah dengan para pengiringnya. Baginda kemudiannya bertemu dengan Puteri Cendera Wati yang asalnya dilarikan oleh seekor raksasa yang mahu memakan hati puteri tersebut apabila cukup dewasa kelak. Raja Rom menyelamatkan puteri tersebut lalu dibawa pulang dan dikahwininya.

Suatu hari, Puteri Cendera Wati dan Raja Rom melawat ke Pulau Cinta Berahi dan Pulau Pelanggam Cahaya untuk bersuka ria sambil memetik buah-buahan bersama para pengiring mereka. Puteri Cendera Wati yang ketika itu sedang hamil tiga bulan, terlalu asyik dengan keindahan pulau tersebut lalu terpisah pula dengan dayangnya. Muncul Si Batu Kembar yakni seekor raksasa yang tinggal di pulau tersebut, merampas pakaian serba lengkap kepunyaan Puteri Cendera Wati lalu dipakainya, dan kepada puteri tadi ditukarkannya dengan kulit kayu manakala wajah puteri malang itu disapu dengan gerah rangdu menjadikannya hodoh dan buruk. Si Batu Kembar yang menyamar menjadi puteri, bertemu dengan Raja Rom lalu mempersalahkan dan menuduh puteri yang telah menjadi hodoh tadi sebagai hantu dan punca wajah Si Batu Kembar menjadi berbeza. Raja Rom membawa pulang Si Batu Kembar ke istana manakala puteri sebenar dibuangkan ke laut.

Puteri Cendera Wati diselamatkan oleh Betara Gangga. Sang Betara Gangga kemudiannya memberikan Puteri Cendera Wati sebiji batu hikmat yang membolehkan baginda pulang ke negeri Rom secara berjalan di atas laut.

Lalu sang puteri pulang dan tinggal di hujung negeri Rom bersama kandungannya. Baginda kemudiannya elahirkan seorang putera yang terlalu elok paras wajahnya dan dinamakan Indera Nata; seperti yang diamanahkan oleh Betara Gangga. Manakala di istana pula, Si Batu Kembar yang menyamar turut melahirkan seorang lagi waris Raja Rom yang diberi nama Indera Jenaka.

Indera Nata yang semakin dewasa ditakdirkan berjumpa dengan Indera Jenaka lalu bersahabat. Si Batu Kembar yang mengetahui asal-usul Indera Nata, memarahi dan memukulnya sekuat hati.

Indera Nata kemudiannya melukis gambar tujuh orang puteri yang sedang menunggang seekor gajah bergading emas. Raja Rom yang ternampak lukisan tersebut memerintahkan Indera Nata mendapatkan apa yang dilukisnya atau dihukum bunuh. Indera Nata pulang ke rumah lalu memberitahu bondanya hal tersebut.

Puteri Cendera Wati menyerahkan batu hikmat pemberian Betara Gangga kepada Indera Nata yang mahu memulakan pengembaraanya mencari tujuh puteri bersama gajah bergading emas tersebut. Indera Jenaka yang pada mulanya mengikut Indera Nata, berpatah balik kerana takut dengan bahaya lalu menceritakan keberanian Indera Nata kepada Raja Rom.

Indera Nata pula berjaya menemui tujuh orang puteri namun puteri-puteri tersebut sebenarnya ditawan oleh sepasang raksasa yang menculik mereka untuk memakan hati mereka apabila dewasa kelak. Ketika kedua raksasa itu tiba-tiba pulang, salah seorang puteri iaitu Puteri Cendera Kesuma menyembunyikan Indera Nata dalam sebuah peti emas. Puteri Cendera Kesuma meminta raksasa mencarikan gajah bergading emas supaya hati mereka cepat membesar untuk raksasa itu makan. Kedua raksasa itu lantas keluar mencari dan berjaya mendapatkannya. Raksasa pulang dengan gajah bergading emas. Sang puteri memberi alas an lagi supaya kedua raksasa itu mencari kijang betanduk emas dan memcuci sehelai kain hitam sehingga menjadi putih. Pada masa kedua raksasa itu keluar melakukannya, Indera Nata melarikan ketujuh-tujuh puteri bersama gajah bergading emas tadi. Kedua raksasa yang menyedari mereka telah ditipu, mengejar mereka hingga ke tepi laut. Betara Gangga yang pernah menyelamatkan bonda Indera Nata, muncul sekali lagi untuk menyelamatkan Indera Nata pula. Kedua raksasa itu mati dibunuh oleh Betara Gangga di dalam laut. Indera Nata pula selamat membawa ketujuh-tujuh puteri pulang ke rumah bondanya, Puteri Cendera Wati.

Raja Rom yang terpesona dengan kecantikan ketujuh-tujuh puteri dan keperkasaan Indera Nata mendapatkan gajah tersebut, mula khuatir Indera Nata mungkin akan merampas kerajaannya lalu baginda mencipta satu muslihat agar Indera Nata berjumpa ayah dan bonda baginda yang telah mangkat. Namun Puteri Cendera Wati bersama tujuh puteri yang menghidu niat jahat Raja Rom itu, berjaya memanipulasi keadaan tersebut. Mereka membuat satu patung yang menyerupai Indera Nata dan diperbolehkan patung tersebut hidup dengan menggunakan batu hikmat Betara Gangga. Patung tersebut dihantar ke dalam unggun api yang marak tanpa meninggalkan secebis tulang.

Raja Rom kemudiannya datang ke rumah Cendera Wati untuk mengambil ketujuh-tujuh puteri bersama gajah bergading emas namun terperanjat bila mendapati Indera Nata masih hidup. Indera Nata menceritakan keadaan syurga dan khabar ayah bonda baginda. Indera Nata memberitahu lagi bahawa arwah ayah dan bonda baginda mahu bertemu baginda sekeluarga. Raja Rom percaya lalu mengatur satu lagi pembakaran.

Patung Indera Nata di ciptakan sekali lagi untuk mengiringi Raja Rom bersama Si Batu Kembar dan Indera Jenaka. Mereka berempat kemudiannya memasuki unggun api yang marak itu lalu mangkatlah Raja Rom bersama Si Batu Kembar dan Indera Jenaka.

Setelah kemangkatan Raja Rom, bonda Indera Nata menceritakan bahawa Raja Rom sebenarnya ayahanda kepada Indera Nata. Cendera Kesuma kemudiannya menghidupkan kembali Raja Rom dengan batu hikmat Betara Gangga. Raja Rom yang hidup kembali diberitahu kisah sebenar yang berlaku pada Puteri Cendera Wati satu ketika dahulu. Raja Rom menyesal lalu berterima kasih pada semua.

Indera Nata yang kemudiannya berkahwin dengan ketujuh-tujuh puteri yang diselamatkan itu, rupanya dimusuhi oleh ketujuh-tujuh ayahanda mertuanya. Ketujuh-tujuh raja tersebut kemudiannya datang untuk menyerang Indera Nata namun setelah melihat keperibadian Indera Nata yang terlalu elok rupa paras dan terlalu tinggi budi pekerti itu, membatalkan hasrat ketujuh raja tersebut malah menganggap Indera Nata selayaknya menjadi menantu mereka.

Ketujuh-tujuh raja pulang ke Negara masing-masing namun mereka diserang pula oleh tunangan kepada puteri mereka. Ketujuh-tujuh raja memberikan sebab yang serupa kerana kesemua tunangan puteri-puteri tersebut tidak berani menyelamatkan puteri mereka dari cengkaman raksasa dahulu namun hanya berani menunjukkan muka setelah mengetahui puteri mereka kini menjadi milik Indera Nata.

Peperangan demi peperangan berlaku namun Indera Nata berjaya membantu semua ayahanda mertuanya menewaskan putera-putera bacul itu. Kesemua putera itu kemudiannya dilepaskan setelah berjanji mahu memberi ufti kepada kerajaan Rom.

Puteri Cendera Kesuma yang hamil tiga bulan pula mengidam buah pauh janggi. Indera Nata yang pergi mengembara mencari buah tersebut, dilanda musibah lalu hanyut ke sebuah pulau seorang diri. Indera Nata kemudiannya diselamatkan oleh seekor garuda yang menerbangkannya ke sebuah negeri bernama Negeri Cemara. Di sana, tinggal seorang puteri bernama Ratna Seri Kencana yang sangat cantik dan menjadi rebutan empat puluh putera raja yang datang melamar sehingga menyukarkan Raja Cemara membuat keputusan untuk puterinya yang seorang itu. Indera Nata kemudiannya menyamar sebagai Emas Bagang lalu memberi pendapat pada Raja Cemara. Dengan muslihat Emas Bagang, anak-anak raja itu berperang sesama sendiri hingga tinggal lima orang sahaja.

Di Rom pula, anak kepada Puteri Cendera Kesuma dan Indera Nata telahpun membesar menjadi seorang putera yang terlalu kacak dan tinggi budi pekerti dan dinamakan Indera Lelana. Indera Lelana yang telah berusia sembilan tahun kemudiannya keluar mengembara untuk mencari ayahandanya yang belum pulang.

Indera Lelana tiba di Negara Cemara lalu menumpang di rumah nenek kebayan yang kebetulannya menjaga kebun bunga milik Ratna Seri Kencana, puteri yang menjadi rebutan tadi. Ratna Seri Kencana yang singgah ke rumah nenek kebayan untuk memetik bunga, mula jatuh cinta dengan Indera Lelana.

Indera Lelana dan Ratna Seri Kencana kemudiannya bercinta tanpa pengetahuan Raja Cemara. Ketika rahsia terbongkar, kelima-lima raja yang menunggu penerimaan lamaran, menyerang Indera Lelana namun Indera Lelana terlalu hebat untuk dikalahkan. Raja Cemara akhirnya mengarahkan Emas Bagang menentang Indera Lelana.

Emas Bagang dan Indera Lelana bertarung tanpa mengalah. Kemudiannya Emas Bagang yang mula kehairanan melihat diri Indera Lelana seakan bayangan terhadap dirinya, bertanya asal-usul Indera Lelana. Terbuktilah Indera Lelana adalah anak kandungnya sendiri.

Raja Cemara yang mengetahui keadaaan tersebut sangat sukacita kerana puterinya akan berkahwin dengan anak raja termasyhur di dunia. Emas Bagang menukar kembali namanya kepada Indera Nata lalu membawa Indera Lelana dan menantunya Ratna Seri Kencana pulang ke Rom.

Setelah Ratna Seri Kencana hamil tiga bulan, baginda pula yang mengidam kijang emas. Indera Lelana yang keluar berburu terserempak dengan abang Si Batu Kembar. Kegagahan Indera Lelana akhirnya berjaya menewaskan keangkuhan abang Si Batu Kembar. Negeri Rom akhirnya menjadi semakin makmur, aman damai dan gilang-gemilang tanpa sebarang ancaman musuh.

Penghuraian Watak Utama

INDERA NATA

1. Pewaris Takhta Kerajaan Rom

-meskipun dibesarkan jauh dari kawasan istana, darah raja yang mengalir dalam tubuhnya seolah-olah memberikan satu aura istimewa

-sebagai anak raja, dia sering dibantu oleh alam dan kuasa ghaib seperti bantuan Betara Gangga, lembur dan naga, garuda dan sebagainya

2. Rupa Paras, Akal dan Budi Pekerti

-Indera Nata digambarkan mempunyai rupa paras yang gilang-gemilang

-Indera Nata juga mempunyai akal dan buah fikiran yang baik sehinggakan berjaya mempermudahkan masalah dengan muslihatnya

-Indera Nata turut mempunyai budi pekerti yang sangat tinggi hemahnya

-sesiapa yang melihat Indera Nata dikatakan akan terpesona dengan anak raja itu


3. Kegagahan dan Kesaktian

-Indera Nata adalah wira yang sangat gagah sehingga digambarkan hampir tiada apa yang mampu melemahkannya

-Indera nata mempunyai kesaktian dan kekebalan sehingga meskipun dicampakkan ke gunung, Indera Nata tetap mampu bangun semula dengan megah

Elemen Mitos

  1. Sang Raja memburu kijang bertanduk emas
  2. Raksasa yang mahu memakan hati sang puteri terpaksa menunggu sehingga puteri dewasa
  3. Sebuah batu hikmat yang mampu membolehkan sang puteri berjalan di atas laut
  4. Sang wira bertemu tujuh puteri yang diculik raksasa bersama gajah bergading emas, saling tak tumpah seperti apa yang dilukisnya sebelum itu
  5. Patung yang dicipta boleh dihidupkan dengan batu hikmat
  6. Raja yang mangkat dibakar boleh dihidupkan kembali dengan batu hikmat
  7. Sang wira bersendirian mampu menewaskan seekor raksasa yang tidak mampu ditewaskan oleh lima ratus orang
  8. Sang wira mampu menumpaskan angkatan tentera dari tujuh buah Negara secara bersendirian
  9. Kehadiran garuda yang menyelamatkan sang wira dari sebuah pulau

3 comments:

  1. terima kasih kerana menyediakan sinopsis ini, saya mencari cerita lengkap Hikayat Indera Nata untuk rujukan teks Antologi Komponen sastera Tingkatan 4,saya akan tampal bersama-sama sinopsis petikan Hikayat Indera nata dalam Antologi tersebut. Semuga usaha saudara mendapat keberkatan Allah SWT. Salam.

    ReplyDelete
  2. thanks a lot for this sinopsis.Hope this will help in my final exam..

    ReplyDelete