Friday, April 24, 2009

HURAIAN WATAK MATTY WALKER DALAM BODY HEAT (Lawrence Kasdan), DAN APA ITU MIS-EN-SCENE, WESTERN, SERAM, SERTA NARATIF FILEM

NAMA PELAJAR: YUSRIZAN BIN YUNUS
NO MATRIKS: 27083038
KURSUS: ANALISIS DAN APRESIASI FILEM
KOD KURSUS: AFV 4012
PENSYARAH: EN HISHAMUDDIN RAIS

ISI KANDUNGAN

A. WATAK MATTY WALKER DALAM FILEM BODY HEAT

B. APA ITU;

1. MIS-EN-SCENE

2. FILEM NOIR

3. FILEM WESTERN

4. FILEM SERAM

5. NARATIF



WATAK MATTY WALKER DALAM FILEM BODY HEAT
Watak Matty Walker lakonan Kathleen Turner dalam filem Body Heat arahan Lawrence Kasdan adalah merupakan watak seorang wanita femme-fatale yang mempergunakan sepenuhnya kebijaksanaan, wajahnya yang cantik, tubuhnya yang seksi, dan cintanya yang penuh sensasi pada Ned Racine; seorang peguam lelaki yang gagal, demi mencapai impiannya sendiri iaitu merebut semua harta milik suaminya. Watak Matty Walker ini merupakan watak seorang wanita yang terlalu bijak. Bijak berkata-kata, bijak memanipulasi, bijak menyembunyikan perasaan, bijak berlakon, bijak berpura-pura, bijak mengambil kesempatan, bijak mempergunakan orang lain dan tidak melampau untuk dikatakan bijak dalam segala hal.
Watak Matty Walker ini adalah wanita yang dalam usia lingkungan 25-30 tahun, bekas penuntut di Wheaton High School dan nama sebenarnya adalah Mary Ann. Di sekolah, dia di gelar sebagai ‘The Vamp’ atau Si Penggoda. Ditabal sebagai ‘Homecoming Princess’ sebanyak dua kali dan mempunyai kemahiran berenang yang tinggi, seperti yang tercatat di dalam Buku Rekod Tahunan sekolahnya. Dia menukar identiti kepada Matty Tyler (nama milik rakan sekolahnya), untuk mengahwini lelaki tua kaya bernama Edmund Walker yang tinggal di Pinehaven lalu namanya menjadi Matty Tyler Walker. Setelah ‘the real Matty Tyler’ mendapat tahu situasi yang berlaku, dia mula memeras ugut Matty dan meminta sejumlah wang setiap bulan. Sebagai wanita femme fatale, Matty aka ‘the real Mary Ann’ menggunakan kebijaksaannya untuk melakukan pembunuhan terancang dan penuh teliti terhadap ‘the real Matty Tyler’ di rumah bot miliknya, sekaligus memberi tahu dunia bahawa Matty Tyler Walker sudah mati; berdasarkan rekod pergigian milik ‘the real Matty Tyler’.
Frasa femme-fatale yang berasal dari Perancis yang membawa maksud ‘wanita maut’ ini, kuat dihubungkan dengan watak Matty Walker di mana femme fatale ini biasanya akan mencapai segala keinginan dan agenda rahsianya dengan menggunakan ciri-ciri feminin yang ada dalam dirinya seperti kecantikan, tarikan dan keberahian seksual. Secara tipikal, wanita seperti ini sering dicipta sempurna dengan elemen-elemen tersebut. Wanita femme fatale seperti Matty sering menggunakan tipu helah di balik kecantikan mereka. Dengan menyamarkan diri sebagai mangsa yang tersepit dengan keadaan, akhirnya Matty menjadi wanita femme-fatale yang berjaya.
Berdasarkan beberapa faktor, perilaku Matty ini berkait rapat juga dengan apa yang di utarakan oleh Sigmund Freud mengenai teori psikoanalisis di mana perilaku seperti ini sebenarnya berpunca dari apa yang Freud gelarkan sebagai Id, iaitu struktur bawah sedar dalam pemikiran manusia.
Seperti watak femme fatale yang diketahui ciri-cirinya, Matty Walker adalah seorang yang cukup menggiurkan dan mengghairahkan di mana dia menggunakan sifat tarikan yang ada pada dirinya untuk menghambat ikatan cinta yang penuh dengan nafsu dan keberahian seksual yang tidak mampu ditolak oleh Ned Racine, yang kemudiannya membawa mangsanya itu ke lembah jenayah yang penuh bahaya melalui janji dan kata-kata manis. Apatah lagi watak Ned itu yang digambarkan sering dahagakan seks (berdasarkan babak-babak Ned sering melanggan pelacur), memudahkan Matty untuk mengumpan Ned Racine dengan keberahian hubungan seksual.
Berdasarkan teori semiotic, dapat diperlihatkan melalui pemakaian dan tatarias Matty, bahawa dia bukan wanita sembarangan. Pakaiannya meskipun begitu ringkas dengan blaus dan skirt, material dan rekaannya jelas menunjukkan Matty Walker terdiri dari golongan wanita berada, bijak dan berpelajaran. Ini dibuktikan juga melalui kata-kata Ned yang mampu mengagak tempat tinggal Matty di Pinehaven, sebelum Matty sendiri memberitahunya.
Pertemuan pertama antara Matty dengan Ned sebenarnya dirancang penuh teliti oleh kebijaksanaan Matty di tepi pantai ketika suhu panas kawasan itu mencapai tahap merimaskan. Matty dilihat menjual mahal terhadap Ned pada mulanya dengan dialog “I’m a married woman”, yang melambangkan dia sukar didekati dan adanya sempadan di antara mereka. Namun kemudiannya ia dilonggarkan oleh Matty sendiri dengan kata-kata “That’s my business, how happy I am (dalam perkahwinan tersebut)”, yang seakan memberi makna bahawa Matty sememangnya perlukan teman. Ini diperkuatkan lagi dengan kata-katanya pada Ned, “Not too smart are you, I like that in a man”, di mana ianya cukup untuk membuatkan Ned terangsang untuk mengenali Matty dengan lebih dekat. Matty kemudiannya seakan memberi peringatan sekali lagi pada Ned yang dia telah berkahwin dengan kata-kata “I told you, I got a husband”, namun sambil mengungkapkannya, Matty menyisir lembut rambutnya dan mengusap lehernya sendiri sambil merenung tepat pada mata Ned; menggambarkan seolah-olah Matty memberi harapan dan ‘meminta’ Ned agar lebih dekat padanya. Matty kemudiannya menambah kegersangan yang ada dalam diri Ned dengan berpura-pura menumpahkan air minuman pada bahagian buah dadanya, menarik renungan Ned dan menancapkan mata Ned untuk memberikan keghairahan yang memuncak dalam diri Ned, apatah lagi tatkala Matty melafazkan kata “You don’t want to lick it?” di mana ayat itu sesungguhnya telah menjana keberahian Ned sekaligus membuatkan Ned gila bayang apabila Matty menghilangkan dirinya.
Di sini jelas dapat dilihat, segala perlakuan Matty itu sebenarnya sebagai satu permulaan untuk dia membawa Ned masuk ke dalam dunianya, mula mengejar bayangnya, mimpikan dirinya lantas menimbulkan rasa dalam diri Ned agar berkehendak untuk mendapatkan Matty Walker. Ini terbukti apabila Ned yang selama ini kelihatan puas apabila melanggan pelacur, mula terasa kosong akibat penangan godaan secara halus yang dilakukan oleh Matty. Hal ini mungkin akan berlainan sekiranya Matty yang beria-ia mendekati Ned, tentunya hubungan intim yang bakal berlaku nanti sekadar ‘one night stand’ dan akan merosakkan agenda tersembunyi Matty yang sebenarnya mahu mempergunakan Ned Racine. Perkara ini telah diteliti dengan sangat dalam oleh Matty Walker lantas disusunnya dengan begitu rapi sehingga dia begitu yakin Ned sudah mula memakan umpannya.
Keyakinan ini diperlihatkan apabila Matty sedia duduk di bar Pinehaven Tavern Cocktail yang pada hakikatnya dia memang menunggu kehadiran Ned. Kata-kata Matty “You’re the first I’ve let stay”, pada Ned, bagai memberitahu Ned bahawa Ned merupakan orang yang sangat bertuah dan tidak ada orang lain yang pernah berpeluang duduk di sebelah Matty sebelum ini, lantas menjadikan Ned sangat berbesar hati kerana ‘dibenarkan’ duduk disamping Matty yang ‘sukar didekati’. Matty kemudiannya memperlihatkan kebijaksaannya memanipulasi keadaan ketika dia menampar Ned sebelum membawa Ned ke rumah untuk mengaburi mata para pengunjung bar. Ini kerana dia mahu para pengunjung bar itu tidak memikirkan bahawa Ned akan mengikut Matty pulang setelah ditampar dengan begitu kuat, lantas sekaligus menolak persepsi mereka mengenai kemungkinan wujudnya hubungan sulit antara Ned dan Matty.
Godaan Matty terhadap Ned bersambung di rumah Matty di mana Matty menggoda Ned melalui pernafasan, renungan dan ciuman yang pantas lalu dengan tiba-tiba menutup serta mengunci pintu dan menyuruh Ned pergi. Tetapi Matty kemudiannya berdiri di ruang tengah rumah merenung Ned dari dalam, seakan memujuk Ned untuk menerobos masuk ke dalam rumah, yang sebenarnya ‘perangkap buatannya’ di mana simbolik keresahan digambarkan seolah-olah mengharapkan dambaan kepuasan seksual dari Ned; sekaligus memerangkap Ned masuk ke dalam dunia palsu cintanya. Keadaan ini juga sebenarnya untuk membuktikan adakah Ned akan mampu membawa tugas yang bakal diberikan oleh Matty yakni membunuh suaminya. Sekiranya Ned gagal atau takut untuk memecahkan pintu kaca itu untuk mendapatkan Matty, sudah tentu sahaja tugas untuk membunuh suami Matty akan lebih sukar dilakukan, dan memerlukan Matty untuk mencari lelaki yang lain, yang lebih berkemampuan, dan yang lebih berani untuk mendapatkan sesuatu tanpa berfikir panjang. Namun, Ned yang berjaya memecahkan pintu tersebut, sebenarnya berjaya meyakinkan Matty bahawa dialah orang yang paling sesuai untuk dipergunakan dalam kancah yang bakal mencelakakan hidup Ned itu.
Matty seterusnya diperlihatkan mula memasukkan input pada Ned mengenai kebosanannya terhadap suaminya. Matty juga kerap membanding-bandingkan suaminya dengan Ned, dan kadangkala secara spontan mahukan suaminya mati dan membayangkan Ned sebagai pengganti, sekaligus turut memberikan Ned angan yang sama. Matty juga memperlihatkan pada Ned yang dia tidak hairan dengan harta peninggalan suaminya malah bertanya pada Ned adakah Ned akan kisah sekiranya dia tidak lagi kaya seperti sebelumnya.
Kebijaksanaan dan kelicikan Matty diperlihatkan lagi ketika Ned secara tidak sengaja berjumpa dengan Mary Ann, wanita yang ditukar identiti dengan Matty Walker di mana Matty dengan spontan dan selamba memperkenalkan Mary Ann kepada Ned sebagai kawan karib malah dianggapnya sebagai kakak, sedangkan waktu itu kebencian Matty terhadap Mary Ann berada di tahap kemuncak kerana pemerasan ugut yang dilakukan oleh Mary kian mencabar kesabaran Matty, namun diselindungkan dengan begitu baik oleh Matty.
Kecekapan Matty tidak dapat disangkal lagi ketika pertemuan tidak sengaja antara dia bersama suaminya Edmund Walker dengan Ned di sebuah restoran. Matty begitu bijak mengatur kata dengan bertanya nama pertama Racine; seakan terlupa, lantas memberi persepsi pada Edmund yang Matty tidak begitu mengenali Ned; peguam yang kononnya mempunyai pembeli yang berminat dengan kediaman mereka itu, sedangkan pada hakikatnya Matty telah bermain cinta dengan Ned, dan sering pula puas di ranjang dengan hubungan seksualnya bersama Ned.
Matty juga dilihat berjaya mengaburi pemikiran Edmund di mana ketika Edmund berbual dengan Ned mengenai perniagaan hartanah, Edmund memandang Matty sebagai seorang perempuan yang tidak berminat untuk mengetahui urusan perniagaan, jauh sekali untuk mengambil selok-belok dan masalah yang berkaitan dengan perkara tersebut. Apatah lagi Matty meyakinkan pandangan Edmund apabila bangun meninggalkan Edmund bersama Ned sambil berkata “I’ll be rightback, then maybe we can talk about pantyhose or something interesting”- menunjukkan kononnya dia tidak tertarik langsung dengan soal harta dan perniagaan milik Edmund.
Kemunculan Matty Walker secara tiba-tiba di ofis Ned Racine, sebenarnya bukanlah semata-mata untuk berkeluh-kesah menyatakan kerinduannya pada belaian Ned. Tetapi untuk memastikan Ned agar terus menerus mempercayai cintanya, memastikan Ned agar terus menerus mendambakannya, dan memastikan Ned agar melafazkan “We are going to kill him, we both know that. It’s what you want, isn’t it?” iaitu ayat yang Matty nantikan sejak awal lagi.
Matty Walker juga dengan mudah meyakini Ned dengan berpura-pura menunjukkan kesetiaannya ketika berkeras mahu menemani Ned mencari pakar pembuat bom dan akan menanggung risiko bersama-sama Ned.
Matty mempergunakan tarikan dan keberahian seksual yang ada pada dirinya ketika memujuk Edmund melakukan hubungan seks apabila Edmund tidak dapat tidur dan mahu keluar; di mana ia bakal menjejaskan rancangan Matty. Edmund yang keletihan selepas klimaks, masih dipujuk oleh Matty supaya jangan berhenti; bukan kerana mahukan lagi kenikmatan seks tersebut, tetapi Matty sebenarnya cuba melengahkan masa dan memberi ruang untuk Ned supaya mengikut apa yang telah dirancang.
Matty menggunakan kebijaksanaannya ‘memberitahu’ Ned bahawa Edmund sedar ada penceroboh dengan cara sengaja menguatkan suara dan berkata pada Edmund “You want me to call the police?” sehingga dua kali Edmund menyuruh Matty senyap, tetapi Matty tetap bersuara lantang. Matty juga dilihat mempunyai pemahaman yang agak kabur mengenai penglibatan Edmund dengan kerja kotor di mana Matty agak terperanjat apabila mengetahui Edmund menyimpan pistol. Matty memanipulasi keadaan dengan pantas tatkala menjerit “He has a gun!” sambil memandang suaminya tetapi sebenarnya dia memberitahu pada Ned. Keadaan itu memberi tafsiran salah pada Edmund yang menyangka penceroboh itu mempunyai pistol, lantas mengalih perhatian Edmund yang membalas, “Where?” lalu memberi peluang pada Ned untuk menyerang Edmund.
Setelah kematian Edmund, Matty yang sebenarnya telah menukar wasiat dengan menggunakan nama Ned sebagai peguam, dengan licik mendapat segala harta milik Edmund melalui ‘kesilapan’ sama yang pernah berlaku pada kes Gouron di bawah penyeliaan Ned sebelum ini. Mulanya sebelum ini Matty mahu Ned sendiri yang melakukannya tetapi Ned menolak lantas Matty melakukannya sendiri; memperlihatkan Matty sedia maklum dan cukup arif mengenai isi perundangan yang melibatkan harta wasiat, meskipun tanpa bantuan Ned.
Daya pujukan Matty dengan mudah melentur Ned apabila Matty memberitahu yang dia menjadi arif mengenai isi perundangan harta wasiat melalui seorang peguam yang menyelamatkannya dari dadah satu ketika dulu. Sedangkan sebenarnya itu semua adalah kelicikan Matty mengubah situasi ‘kesilapan’ Ned pada kes Gourson dimana maklumat tersebut diperolehi oleh Matty dari Michael Glenn dari Syarikat Guaman Bashford-Hillerman di sebuah parti setahun sebelum itu. Ini bermakna Matty telah menyiasat dan mengenali segala perilaku dan kehendak Ned, dan merancang dengan teliti segala agenda, selama setahun, yakni sejak dia mendapat maklumat mengenai Ned Racine.
Matty Walker juga merancang kemas andaian-andaian yang akan berlaku sekiranya rancangannya tidak berjalan dengan lancar. Matty ‘merantai’ alibi Ned apabila menelefon bilik hotel Ned di Miami dari jam 3.30 pagi hingga 5 pagi. Dia tahu Ned tidak ada di sana kerana dalam jangka waktu itulah Ned berlalu setelah menurunkan Matty, dan meneruskan perjalanan menuju ke Miami. Dengan mudah alibi Ned untuk mengatakan dia ada di Miami ketika pembunuhan berlaku, musnah.
Kehilangan cermin mata tahan api milik Edmund juga digunakan dengan sebaik mungkin oleh Matty. Matty menelefon Ned dari Miami dan menyuruh Ned mengambil cermin mata tersebut di rumah bot miliknya- untuk ‘memerangkap’ Ned. Apatah lagi Matty sudahpun mendapat kesemua wang peninggalan wasiat Edmund, Ned sudah tiada kepentingan lagi untuknya.
Tetapi Matty bijak. Terlalu bijak. Dia sengaja berjumpa dengan pakar bom yang sama ditemui Ned sebelum ini. Dia juga sengaja memberitahu pakar bom tersebut nama Ned, mengharapkan pakar bom tersebut menyampaikannya pada Ned, dan ia berhasil. Matty berjaya membuatkan Ned resah, gelisah, dan memerhati keadaan pintu rumah bot itu, dan kelihatanlah wayar bom yang bersedia untuk meletuskan letupan. Bagi Matty, andaikata Ned terlalu bodoh tentunya Ned akan terus membuka pintu tersebut lalu meletupkan diri Ned dan segala yang ada dalam rumah bot itu. Tetapi Matty telah bersiap sedia dengan andaian lain- Matty tahu Ned akan menunggunya. Matty tahu Ned akan menyuruhnya membuka sendiri pintu rumah bot itu dan mencari cermin mata tersebut. Matty sebenarnya menunggu-nunggu kata-kata Ned “Why don’t you go down there and get them”. Lantas dibalas pula oleh Matty dengan yakin “I’ll go and look for them.” Sebelum Matty hilang dari pandangan, Matty sempat berpaling meninggalkan kata-kata terakhir “No matter what you think, I do love you,” yang sebenarnya mahu meninggalkan satu perasaan pada Ned- supaya Ned berfikir untuk beberapa ketika- cukup lama untuk Matty membuka pintu yang memulakan detik bom jangka itu berdetik selama beberapa saat (seperti yang diminta oleh Matty dari pembuat bom) lalu rumah bot itu meletup setelah Matty meloloskan diri entah ke mana; tentunya Matty terus terjun ke dalam air dan berenang jauh dari situ sementelah dia adalah juara renang sekolah seperti yang tercatat dalam Buku Tahunan sekolahnya. Tetapi pada masa yang sama Matty berjaya menjadikan Ned dan rakannya Oscar sebagai saksi utama ‘kematian’ Matty dalam letupan tersebut, apatah lagi Matty telah siap sedia meletak mayat ‘the real Matty Tyler’ sebelum Ned tiba ke rumah bot tersebut.
Jenayah yang dilakukan oleh Matty ditinggalkan dengan begitu bersih dan sempurna. Matty Walker yang dilahirkan dengan kebijaksanaan tersebut akan terus mendapatkan apa yang dia mahu dan melakukan apa yang dia patut lakukan. Dengan ini jelaslah diperhatikan, Matty Tyler Walker sebenarnya tidak hairan langsung dengan kehadiran Ned Racine dalam hidupnya, tidak hairan langsung dengan cinta, kejujuran dan kepercayaan. Apatah lagi di akhir babak ditunjukkan dia bersama seorang lelaki (yang begitu luas dan kompleks kemungkinannya) entah samada lelaki itu yang berada di sampingnya selama ini, membantunya dalam setiap jenayah yang dilakukannya, atau lelaki itu sekadar salah satu mangsa hinggapannya yang terbaru seperti yang lain-lain. Namun apa yang pasti, cita-cita Matty ketika di sekolah dulu tercapai dengan jayanya, iaitu untuk menjadi kaya dan tinggal di sebuah pulau eksotik.






1. MIS-EN-SCENE
Mis-en-scene yang difahami sebagai ‘apa dalam bingkai’ merupakan satu ekspresi dalam filem dan teater yang mentakrif aspek sesebuah rekaan dalam sesebuah produksi.
Dalam filem, mis-en-scene dirujuk pada setiap perkara yang terdapat dalam bingkai dan perletakannya termasuk set, prop, pelakon, kostum, make up dan pencahayaan. Ia juga meliputi kedudukan dan pergerakan pelakon dalam set penggambaran tersebut. Keseluruhan perkara ini biasanya diambil kira dengan teliti oleh pengarah, jurukamera dan pereka set produksi bagi menghasilkan filem yang baik.
Mis-en-scene juga boleh dianggap sebagai menjelaskan sesuatu ruang dalam bingkai sinema. Ruang-ruang inilah yang akan memberi suatu ilusi pada penonton mengenai penceritaan yang hendak disampaikan, dan akan melengkapkan setiap bingkai demi bingkai di mana ia akan membawa kepada simboliknya sesuatu bingkai itu dalam sesebuah penceritaan.
Pembikinan mis-en-scene dalam filem membawa pemerhatian kita pada perjalanan cerita itu sendiri. Sebagai contoh, bila ‘shot’ melibatkan ‘long take’, persediaan rapi amat diperlukan untuk memastikan pelakon dan kamera bergerak secara serentak, sambil merangkumi apa yang diletakkan dalam bingkai tadi.
Kaedah mis-en-scene turut digunakan oleh pengarah yang mahukan penekanan pada watak atau situasi tanpa menjelaskannya melalui dialog. Sebagai contoh, situasi sebuah bar di Morocco dalam filem ‘Casablanca’, disusun atur perabot dan props nya, adalah hampir menyamai situasi sebenar di Morocco. Rekaan lampu, perabot, kostum pengunjung dan sebagainya, tanpa perlu disebut ianya di sebuah bar di Morocco, penonton dengan sendirinya akan sedia maklum situasi tersebut.
Ketika pembikinan filem sekitar tahun 1910 hingga 1920an di Jerman, penelitian maksud, naratif dan penerimaan maklumat dapat disalurkan melalui mis-en-scene. Contoh terbaik adalah The Cabinet of Dr Caligari di mana minda tersirat yang berselirat dalam kepala karakter itu di wakili melalui rekaan set produksi.


Seorang penulis skrip yang baik biasanya mampu memberikan gambaran terperinci mengenai mis-en-scene dalam skripnya. Penelitian ini membawa kepada penghasilan imej yang lebih nyata dalam kepala pengarah, jurukamera dan pereka set produksi sekaligus merealisasikan apa yang dibayang kan oleh penulis skrip tersebut untuk setiap bingkai dalam babak demi babak.
Contohnya di dalam skrip tersebut, di tulis seperti ini; ‘Keadaan di sebuah bilik dalam sebuah rumah kampong di waktu siang. Keadaan bilik itu agak sempit namun ia terang disinari cahaya matahari yang masuk melalui tingkap yang terbuka. Di tepi dinding bilik itu hanya ada sebuah almari buruk yang sudah tertanggal sebelah pintu. Didalamnya hanya beberapa helai baju yang sudah lusuh warnanya tetapi terlipat dengan baik. Tidak ada katil ataupun tilam. Yang ada hanyalah tikar mengkuang yang sudah agak lapuk bersama sehelai selimut dan sebuah bantal yang kusam warnanya.’ Keadaan yang digambarkan oleh penulis itu sudah cukup untuk memberi bayangan pada pengarah mengenai karakter yang menghuni bilik tersebut, pencahayaan yang diperlukan oleh jurukamera, dan rekaan set yang perlu ada untuk pereka set sediakan. Ini membantu mereka menggambarkan keadaan dan situasi dengan lebih jelas dan terperinci, sekaligus memberi makna pada penonton berdasarkan mis-en-scene yang diberi.
Oleh itu secara keseluruhan, mis-en-scene secara amnya dikenali sebagai segala perletakan dalam bingkai yang mengangkat karakter dan memberi penerangan situasi tanpa pengucapan dialog mahupun penerangan penceritaan, dan hanya visual yang memainkan peranan dalam memberi gambaran tersebut melalui tatarias dan kostum karakter, pergerakan pelakon dan kamera, penataan cahaya, rekaan set produksi dan kesinambungan bingkai demi bingkai. Andai mis-en-scene ini diabaikan, jelaslah bahawa filem itu tidak boleh diangkat sebagai sebuah filem yang baik kerana gagal membawa pemahaman visual pada penonton yang mengharapkan filem itu sepatutnya jauh lebih hebat dari sebuah drama radio- penceritaan tanpa visual.










2. FILEM NOIR
Filem noir biasanya dihasilkan secara hitam putih. Perkataan filem noir berasal dari Perancis yang membawa maksud hitam. Ia mula digunapakai oleh seorang pengkritik filem bernama Nino Frank pada tahun 1946. Ketika itu, kebanyakan pembuat filem sendiri tidak menyedari stail tersebut yang mereka gunakan sehingga mereka membuat tinjauan kembali pada stail filem yang telah dihasilkan.
Filem noir sering dirujuk pada satu stail untuk filem yang memberi penekanan pada keruntuhan moral dan keberahian seksual. Filem klasik noir Hollywood berkembang sejak awal 1940an hingga lewat 1950an. Dengan menggunakan visual ‘low key black and white’ seperti sinematografi German Expressionist yang telah bertapak sebelum itu, banyak filem jenis ini muncul di Amerika ketika Zaman Meleset (Depression) ketika itu.
Protagonist dalam sesebuah filem noir biasanya terdiri dari karakter yang tidak berakhlak, penyangak, detektif atau polis yang berhati batu, gangster, pembunuh, penjahat, ahli politik mahupun orang biasa, yang biasanya mempunyai hidup tidak tentu hala di dunia yang gelap dan samar. Ia juga mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti sinikal, mudah didekati, obsesif dari segi seksual, penagih dadah, takut pada sesuatu, terjebak dengan femme-fatale atau wanita pisau cukur, terdesak untuk menyelamatkan diri; dan kebiasannya pada akhir babak, dia kehilangan segalanya. Mood atau emosi yang sering diketengahkan dalam filem klasik noir adalah kesedihan, keterasingan, kesuraman, keruntuhan moral, kejahatan, dosa dan paranoia.
Jalan cerita atau ‘storyline’ filem noir biasanya sukar difahami, berselirat dan ‘twist’ di akhir cerita. Naratifnya kompleks, seakan teka-teki yang berlingkar, dan secara tipikal di susun melalui muzik latar yang menggerunkan, babak-babak ‘flashback’, dialog yang tajam, pedas dan lucu, pengakuan watak, dan suara pencerita memenuhi latar filem noir. Titik tolak kejatuhan sesebuah karakter yang tidak bersalah, menjadi mangsa godaan, mahupun diperangkap; sering diangkat sebagai satu plot dalam filem noir. Pendedahan mengenai watak utama direka untuk menerangkan/ memberi hukuman dari sudut perspektif kehidupan secara sinis.
Femme-fatale atau perempuan pisau cukur merupakan salah satu isi penting dalam ciri-ciri filem noir. Kehadiran femme-fatale ini sering digambarkan sebagai seorang yang cantik, seksi, bijak, bermulut manis, penuh misteri, bersifat menduakan lelaki, pengkhianat, tidak mempunyai cinta sejati, tiada sifat bertanggungjawab, manipulatif dan terdesak. Wanita ini biasanya muncul sebagai wanita yang sempurna, dan akan menonjolkan watak sebenar di pertengahan atau di akhir cerita. Kebiasannya, protagonist akan mudah terpedaya dengan kata-kata manis wanita seperti ini, dan hanya akan menyedari kejahatan wanita tersebut ketika segalanya telah terlewat. Watak femme-fatale biasanya akan mempergunakan cinta untuk mendorong dan memujuk protagonist untuk melakukan sesuatu jenayah seperti membunuh, dan kemudiannya berakhir dengan kejatuhan watak protagonist tadi. Sebagai contoh terbaik, watak Matty Walker dalam filem Body Heat arahan Lawrence Kasdan, di mana watak Matty diperlihatkan sebagai femme-fatale yang memusnahkan hidup Ned Racine.
Filem noir yang biasanya dihasilkan secara hitam putih ini juga sering menunjukkan sisi gelap kehidupan manusia yang dicerminkan daripada sikap ganas, pemikiran yang tidak sihat, nafsu dan segala yang terbentuk hasil dari pengalaman silam seseorang. Persekitaran yang penuh cemburu, ragu-ragu, ketidakpercayaan dan pencerobohan minda yang ditekankan secara berulang-ulang juga turut menjadi tunggak dalam pembinaan karakter sesebuah filem noir.

Filem noir juga ditanda secara visual dengan penekanan tatacahaya, ketelitian kerja kamera, visual yang mengelirukan, elemen-elemen yang selari, bayang yang tidak menyenangkan, camera-angle yang agak senget, asap rokok yang berbentuk bulatan, dan komposisi mood yang tidak seimbang. Setting ‘interior’ biasanya pada cahaya ‘single source low-key’, paten tingkap ‘venetian-blinded’ dengan bilik yang agak gelap dengan persekitaran yang suram manakala untuk setting ‘exterior’ pula biasanya waktu malam dengan bayang pekat, jalan basah dan licin, lorong gelap, lampu neon yang berkelip dan tatacahaya ‘low-key’. Lokasi penceritaan juga sering dibuat di jalan yang gelap dan kelam, pangsapuri kos rendah, bilik hotel, ataupun gudang yang ditinggalkan.
Antara pengarah yang terkenal dengan filem noir ini adalah Orson Welles, John Huston, Billy Wilder, Edgar Ulmer, Douglas Sirk, Robert Siodmark, Fritz Lang, Otto Preminger dan Howard Hawks.
3. FILEM WESTERN
Filem western adalah antara genre yang paling jelas dalam industri filem Amerika dimana ia bertapak sejak akhir lewat ke-20. Ia juga bagaikan menjadi sempadan antara waktu peradaban lampau dan modenisasi di mana ia antara genre tertua yang paling fleksibel dan penuh ciri karakter Amerika. Era kegemilangan filem western adalah antara 1930 hingga 1960an dan muncul semula pada tahun 90an dengan naratif yang lebih segar.
Biasanya lokasi ini berpusat di sempadan Barat yang wujud di Utara Amerika ketika akhir abad ke 19 selepas Perang Saudara, berlatarkan Mississippi, juga suasana romantic yang bergabung dengan bentuk rupa bumi yang berceranggah, meninggalkan kesan mendalam terhadap pengkarya filem. Selain Perang Saudara, Perjuangan Alamo (1836) dan Revolusi Mexico (1910) juga sering diangkat sebagai latar cerita.
Filem western yang awal biasanya dihasilkan di studio seperti filem Hollywood awal yang lain, namun apabila penggambaran di lokasi luar mendapat tempat pada tahun 1930an, produser filem western mula menggunakan lokasi seperti New Mexico, California, Arizona, Utah, Nevada, Kansas, Texas, Colorado atau Wyoming sebagai lokasi penggambaran mereka.
Teknologi yang kian berkembang ketika era ini turut memainkan peranan penting. Antaranya telegraf, teknologi percetakan, rel keretapi; menjadi symbol pembaharuan dalam peradaban modenisasi manusia. Malah dalam ‘late western’ seperti filem The Wild Bunch, motokar dan kapalterbang mula diperkenalkan. Teknologi senjata pula sangat jelas mencapai tahap yang tinggi sehingga melonjakkan peningkatan pengeluaran senjata terutamanya pistol tangan pada ketika itu.
Filem western sering melambangkan perjuangan dan perubahan dalam peradaban, atau juga rampasan kuasa dari puak asal. Setting penggambaran biasanya melibatkan kota yang terasing, rumah ladang, saloon bar, jel, kandang kuda, jalan utama dalam pekan, atau sempadan sesebuah kawasan. Kadangkala perkampungan atau kawasan puak natif Amerika juga ada disertakan. Elemen lain yang ada termasuk para koboi, kostum koboi (vest, denim, jeans, but, topi koboi, bandanna dll), pacu kuda, pelana, penjudi, pemabuk, dan pelacur (atau wanita) yang baik hati. Kebiasaannya para koboi ini mempunyai kuda kegemaran mereka seperti Roy Roger dengan Trigger, Gene Autry dengan Champion, Tonto dengan Scout dan Lone Ranger dengan Silver.

Filem western juga digelar sebagai filem koboi. Filem western melambangkan kisah silam Amerika, yang penuh kegemilangan dan penuh inspirasi mengenai era tamadun modenisasi masyarakat Barat. Masa demi masa, filem western diangkat, dijulang, kemudian diketepikan, dikeluarkan semula, lalu diberi nafas baru, malah turut diperkembang jauh dari naratif asal filem western biasa. Contohnya filem Back To The Future 3 yang mengambil latar western tetapi penceritaan yang terarah kepada sains fiksyen.
Plot filem western yang klasik biasanya ringkas dan sering merujuk pada penguasaan undang-undang yang berlaku dalam sesebuah pekan. Konflik yang berlaku adalah tipikal; yang jahat melawan yang baik, seorang lelaki melawan lelaki yang lain, pendatang baru melawan puak natif Amerika (digambarkan puak Red Indian yang tidak bertamadun), kemanusiaan melawan alam semulajadi, sheriff melawan penembak yang jahat dan individu berpandangan jauh melawan komuniti berfikiran sempit.
Elemen plot tipikal yang sering berlaku juga termasuk perjuangan menentang puak natif Amerika, perlawanan tembak-menembak (kadangkala ketika menunggang kuda), keganasan dan pembunuhan manusia beramai-ramai, rompakan keretapi, rompakan bank, kegiatan jenayah, kehadiran sheriff, kereta kuda, plot ‘cari dan musnah’, dan penggunaan lanskap luas seperti Tetons dan Monument Valley.
Wira filem western biasanya terdiri dari penguasa tempatan atau penguatkuasa komuniti, ketua tentera, koboi, marshal kawasan, atau penembak pantas. Mereka biasanya berwatak maskulin dan penuh prinsip sempurna- berani, bermoral tinggi, tegap, tampan, yakin, mempunyai pandangan jauh, biasanya berbicara perlahan dan macho, dan meskipun sering ditemani rakan pembantu, wira seringkali mampu berjuang sendirian kerana mempunyai kebolehan luarbiasa (bermain tali, menembak pantas, berkuda dll).






4. FILEM SERAM
Filem seram merupakan filem yang dihasilkan untuk menimbulkan rasa takut dan panic, mendebarkan, mencemaskan, mengejutkan, dan pada masa yang sama memberi satu kepuasan atas luahan perasaan yang tersorok dalam diri, yang wujud dari kepercayaan masyarakat, keagamaan, atau asuhan sejak kecil mengenai kewujudan alam lain. Filem seram juga mempergunakan sisi gelap kehidupan manusia dan perkara-perkara yang melibatkan mimpi ngeri, kelemahan diri, sikap takut pada sesuatu yang ganjil, takut pada mati, kehilangan identity, mahupun takut pada hubungan seksual.
Filem seram wujud hampir seusia dengan kewujudan filem itu sendiri, lebih 100 tahun yang lalu. Sejak dahulu kala, manusia menggunakan imaginasi untuk melihat apa yang dikatakan hantu dalam bentuk bayang-bayang, atau sesuatu yang dihubungkaitkan dengan perkara yang ganjil yang mewujudkan rasa takut. Menonton sebuah filem seram seakan menghampiri dunia yang menakutkan yang penuh dengan intipati yang mendebarkan, tanpa langsung membahayakan diri sebenarnya. Perasaan ‘thrill’ yang dicungkil sebenarnya menimbulkan rasa gembira ketika ditakutkan dengan imej-imej yang menakutkan ini.
Filem seram dikaitkan dengan apa sahaja yang gelap, primitive, memualkan, menjijikkan, menakutkan, mendebarkan malahan menaikkan bulu roma. Selain penggunaan hantu yang diilhamkan, filem seram sering juga sering digabungkan dengan sains fiksyen bilamana sang raksasa dikaitkan dengan kesilapan teknologi berkaitan biologi, atau bumi diserang makhluk asing.
Filem seram, sekiranya dihasilkan dengan baik dan tidak terlalu bergantung pada efek khas seperti makeup hodoh dan kostum hantu, sebenarnya mampu menjadi pengaruh yang sangat kuat dalam bentuk filem, lantas menerobos dalam mimpi dan mempengaruhi pandangan pada persekitaran, malah mampu menimbulkan rasa takut di kalangan sesama manusia sendiri.
Dalam filem seram, kebiasaannya kekuatan ghaib akhirnya dapat ditumpaskan dan kemenangan sering berpihak pada manusia. Pada awal era pembikinan filem seram dahulu, filem seram biasa dikaitkan dengan Zaman Gothic di mana setting biasanya berhubungkait dengan istana, rumah agam, manusia ghaib, makhluk aneh, pontianak, syaitan, saintis gila, makhluk ciptaan manusia seperti Frankensteins, serigala jadian dan berbagai lagi.
Filem seram berkembang melalui pelbagai sumber. Antaranya melalui kisah-kisah yang diceritakan dari mulut-ke mulut, cerita-cerita hantu, mitos, atau juga melalui novel Victorian dari Eropah seperti penulis kisah Drakula, Bram Stoker. Apapun, penggiat filem bisu German Expressionisme yang sebenarnya banyak mengelopori filem sera mini, dan menterjemahkannya dalam bentuk istilah dan stail sinematik.
Filem seram pertama dengan durasi hanya 2 minit, dicipta hasil imaginasi pembikin filem dari Perancis, Georges Melies berjudul Le Manoir Du Diable aka The Devil’s Castle (1896), mengandungi element kisah hantu pontianak. Manakala antara filem seram yang paling memberi kesan dan ingatan yang kuat adalah Das Kabinett des Doktor Caligari aka The Cabinet of Dr Caligari (1919) arahan Robert Wiene yang mengisahkan pakar terapi di sebuah carnival yang dituduh menyimpan seorang pembunuh ‘somnambulist’ (berjalan ketika tidur).

Dalam filem tersebut, bentuk-bentuk bayang yang mengganggu dan mengacau dalam penghasilan set rekaan produksi, ditambah dengan laluan lorong berselirat, bilik-bilik sempit, bangunan tergantung, bentuk bandar yang senget, yang dihasilkan sepenuhnya dalam studio, telah membawa perubahan besar pada Hollywood ketika tahun 1920an, sekaligus mempengaruhi era klasik filem seram pada tahun 1930an menjadi lebih menonjol.
Perubahan dramatik yang berlaku pada teknologi ketika tahun 1950an, mood perubahan filem seram berlaku dari stail gothic kepada sains fiksyen. Filem seram dengan bajet rendah mula muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Dengan menggunakan topic dan sumber dari ‘luar’, penaklukan makhluk asing dan mutasi yang berlaku pada manusia, haiwan dan tumbuhan menjadi rencah dalam penceritaan filem seram ketika itu. Antara yang terkenal ketika itu adalah The Incredible Shrinking Man dari Richard Matheson.
Kesinambungan tema dari tahun 1980an berlanjutan hingga awal 1990an seperti sequel dari filem seram Child’s Play, dan Leprechaun membawa kejayaan ketika itu. Begitu juga dengan filem box-office lain seperti Nightmare On Elm Street, Friday The 13th dan Halloween. Namun kelihatannya filem-filem ini tidak membawa sebarang perubahan pada genre filem seram kerana dianggap masih di takuk lama.
Kemunculan filem-filem seram selepas itu, kemudiannya membuka mata para pengkritik dan peminat filem di mana teknologi efek khas (computer generated) yang semakin berkembang membolehkan genre filem seram ini mendapat tempias perkembangan tersebut seperti filem Dead Alive arahan Peter Jackson yang menggunakan pendekatan stail komik. Begitu juga kemunculan filem seram berbentuk mock-documentary iaitu The Blair Witch Project yang dihasilkan pada 1999, membuka ruang baru dalam genre tersebut. Selain itu filem seram lain yang mendapat tempat juga adalah arahan M. Night Syamalan; The Sixth Sense yang diakhiri dengan babak ‘twisted ending’ seakan filem noir.
Kemunculan filem bercirikan pontianak yang disebabkan oleh virus (seram + sains fiksyen) disatukan dalam filem The Resident Evil yang diadaptasi dari pelantar permainan computer, mewarnai industri filem seram. Rencah yang sama turut digunakan untuk filem British 28 Days Later dengan stail baru pontianak yang lebih agresif. Apa pun, kini filem seram cuba dihasilkan dengan penuh teliti dengan pelbagai efek, naratif mahupun stail, demi memenuhi kehendak dan kepuasan peminat filem seperti ini.

5. NARATIF
Naratif merupakan satu medium yang digunakan untuk mengklasifikasi perasaan, emosi mahupun perilaku dalaman yang terdapat pada diri setiap manusia antaranya percintaan, dendam, pembelotan, pengorbanan, kelahiran, kematian, kesetiaan dan cemburu. Dalam perkara ini, perkataan ‘penceritaan’ mungkin adalah yang paling dekat untuk mentakrif maksud naratif.
Naratif juga secara umumnya adalah hasil sastera yang berkembang mengikut plot, yang memberitahu suatu peristiwa yang mempunyai watak, masa dan tempat ia berlaku di mana keadaan ini dalam filem digelar sebagai ‘pro-filmic’. Naratif juga boleh dianggap sebagai satu hiburan yang biasa terdapat dalam kehidupan manusia.
Naratif adalah sesuatu yang bergerak; menceritakan tentang pembaharuan, situasi seseorang itu bergerak, perubahan seseorang kerana sesuatu, atau pemahaman kita tentang perubahan seseorang.
Dalam filem, naratif dipergunakan untuk menceritakan sesebuah fiksyen di mana fiksyen ini mempunyai hubungan antara ‘fakta’ dan ‘fiksyen’- antara yang nyata (real) dan yang benar (true). Sebuah fiksyen tetap tidak hilang makna ‘a thing made’. Filem naratif berbeza dengan filem dokumentari yang disusun mengikut sejarah dan situasi, malah kadangkala watak sebenar. Kombinasi antara sejarah dan imaginasi dalam fiksyen sering menjadi ‘crucial’ kerana pemahaman terhadap fiksyen bergantung pada keupayaan manusia menganggap sesuatu karya itu dalam kehidupan. Walau apapun, isi naratif biasanya melibatkan pengalaman peribadi manusia sebenar.
Filem naratif biasanya menarik perhatian kerana caranya yang kompleks di mana dalam satu masa ia sama dan tidak sama dengan kehidupan yakni peniruan. Pengalaman melalui kognetif masing-masing biasanya membantu mentafsir kehendak penonton dalam memilih naratif yang bagaimana menjadi pilihan.
Dua kaedah umum naratif berhubung dengan kehidupan adalah realisme dan romantisme di mana realisme merupakan satu persepsi yang mengangkat impressi terhadap pengalaman kehidupan yang dekat dengan saintis social; psikologi dan sosiologi. Romantisme pula adalah tanggapan di mana dunia romantis menekankan keindahan dan keadaan yang teratur. Hubungan antara individu tertentu dengan dunia yang kacau akan menjadi elemen penting sesebuah naratif fiksyen.
Semenjak kewujudan filem klasik Hollywood ketika awal abad ke 20, naratif yang diangkat menjadi sumber dan penumpuan untuk menghasilkan filem, telah mendominasi industri perfileman dan menjadi sangat sinonim dengan filem. Elemen penting yang digunakan untuk penghasilan ini adalah penyuntingan ‘continuity’ yang membantu naratif bergerak dengan sempurna, menjadikan penonton turut bergerak dalam cerita yang ingin disampaikan.
Dari sudut kesusasteraan pula, naratif adalah cerita atau sebahagian dari cerita. Ia mungkin berlaku secara lisan, penulisan, mahupun bayangan, dan ia biasanya mempunyai satu atau lebih sudut pandangan yang mewakili beberapa bahagian pemerhatian. Dalam penceritaan lisan, akan ada seseorang yang menceritakan sebuah cerita di mana tetamu akan menonton atau mendengar lantas membayangkan perkara tersebut menggunakan pengalaman kognetifnya sendiri. Pencerita juga biasanya berpeluang untuk mendapat maklum balas secara langsung dari pendengar lalu mampu mengubah situasi tersebut menjadi lebih mengujakan. Ini berbeza dari naratif melalui penulisan di mana maklumbalas secara langsung ini tidak dapat diketahui oleh penulis dan pengubahsuaian teks juga sukar dilakukan dan keputusan terakhir dalam naratif sering dilakukan oleh penulis berdasarkan pengalaman kognetif peribadinya sahaja.
Walau apapun, naratif juga sebenarnya membawa kepada plot yang memberi pemahaman mengenai cerita yang ingin disampaikan di mana plot ini adalah jalan cerita satu peristiwa kepada peristiwa yang lain dengan mempunyai sebab musabab. Ia juga harus mempunyai hubungan erat dengan perwatakan dan dalam watak itu pula wujud pula unsur dalaman dan luaran yang bertindak secara berselang-seli, dan mempunyai konflik yang merupakan dasar kepada plot.








BIBLIOGRAFI
Lawrence Kasdan; DVD Body Heat (1981)
En Hishamuddin Rais; Nota Mingguan Kuliah Analisis dan Apresiasi Filem (2008);
En Wahab Hamzah; Nota Salasilah Penceritaan (2008)
Ramli Mohamed; Sinema dan Penontonan Di Malaysia (2003)ISBN 983-861-230-8
HTML Wikipedia; Search on Femme Fatale
HTML Wikipedia; Search on Semiotic
HTML Wikipedia; Search on Mise-en-scene
HTML Wikipedia; Search on Film Noir
HTML Wikipedia; Search on Film Western
HTML Wikipedia; Search on Film Horror
HTML Wikipedia; Search on Fictional Film
HTML Wikipedia; Search on Narrative Film

Sinopsis Hikayat Indera Nata

Nama: Yusrizan Bin Yunus

No Matriks: 27083038

Email: aureolamoda@yahoo.com

Fakulti: Filem & Video

Subjek: Salasilah Penceritaan

Tugasan: KARYA SASTERA KLASIK

Tajuk Karya: HIKAYAT INDERA NATA

Penyelenggara: Wahyunah Hj Abd Ghani

Transliterasi: Salim Hj Taib

Dewan Bahasa Dan Pustaka/2004/ 193 halaman

Sinopsis Hikayat Indera Nata

Hikayat ini bermula dengan kisah seorang raja yang dinamakan sebagai Raja Rom, seorang raja yang adil dan bijaksana. Baginda mangkat dan meninggalkan seorang putera iaitu Raja Muda. Kemangkatan baginda secara tidak langsung menabalkan Raja Muda kepada Raja Rom yang baru.

Suatu hari, Raja Rom yang baru itu pergi keluar berburu. Baginda terserempak dengan seekor kijang putih bertanduk emas lantas baginda cuba mengejar haiwan tersebut. Ketika itulah baginda terpisah dengan para pengiringnya. Baginda kemudiannya bertemu dengan Puteri Cendera Wati yang asalnya dilarikan oleh seekor raksasa yang mahu memakan hati puteri tersebut apabila cukup dewasa kelak. Raja Rom menyelamatkan puteri tersebut lalu dibawa pulang dan dikahwininya.

Suatu hari, Puteri Cendera Wati dan Raja Rom melawat ke Pulau Cinta Berahi dan Pulau Pelanggam Cahaya untuk bersuka ria sambil memetik buah-buahan bersama para pengiring mereka. Puteri Cendera Wati yang ketika itu sedang hamil tiga bulan, terlalu asyik dengan keindahan pulau tersebut lalu terpisah pula dengan dayangnya. Muncul Si Batu Kembar yakni seekor raksasa yang tinggal di pulau tersebut, merampas pakaian serba lengkap kepunyaan Puteri Cendera Wati lalu dipakainya, dan kepada puteri tadi ditukarkannya dengan kulit kayu manakala wajah puteri malang itu disapu dengan gerah rangdu menjadikannya hodoh dan buruk. Si Batu Kembar yang menyamar menjadi puteri, bertemu dengan Raja Rom lalu mempersalahkan dan menuduh puteri yang telah menjadi hodoh tadi sebagai hantu dan punca wajah Si Batu Kembar menjadi berbeza. Raja Rom membawa pulang Si Batu Kembar ke istana manakala puteri sebenar dibuangkan ke laut.

Puteri Cendera Wati diselamatkan oleh Betara Gangga. Sang Betara Gangga kemudiannya memberikan Puteri Cendera Wati sebiji batu hikmat yang membolehkan baginda pulang ke negeri Rom secara berjalan di atas laut.

Lalu sang puteri pulang dan tinggal di hujung negeri Rom bersama kandungannya. Baginda kemudiannya elahirkan seorang putera yang terlalu elok paras wajahnya dan dinamakan Indera Nata; seperti yang diamanahkan oleh Betara Gangga. Manakala di istana pula, Si Batu Kembar yang menyamar turut melahirkan seorang lagi waris Raja Rom yang diberi nama Indera Jenaka.

Indera Nata yang semakin dewasa ditakdirkan berjumpa dengan Indera Jenaka lalu bersahabat. Si Batu Kembar yang mengetahui asal-usul Indera Nata, memarahi dan memukulnya sekuat hati.

Indera Nata kemudiannya melukis gambar tujuh orang puteri yang sedang menunggang seekor gajah bergading emas. Raja Rom yang ternampak lukisan tersebut memerintahkan Indera Nata mendapatkan apa yang dilukisnya atau dihukum bunuh. Indera Nata pulang ke rumah lalu memberitahu bondanya hal tersebut.

Puteri Cendera Wati menyerahkan batu hikmat pemberian Betara Gangga kepada Indera Nata yang mahu memulakan pengembaraanya mencari tujuh puteri bersama gajah bergading emas tersebut. Indera Jenaka yang pada mulanya mengikut Indera Nata, berpatah balik kerana takut dengan bahaya lalu menceritakan keberanian Indera Nata kepada Raja Rom.

Indera Nata pula berjaya menemui tujuh orang puteri namun puteri-puteri tersebut sebenarnya ditawan oleh sepasang raksasa yang menculik mereka untuk memakan hati mereka apabila dewasa kelak. Ketika kedua raksasa itu tiba-tiba pulang, salah seorang puteri iaitu Puteri Cendera Kesuma menyembunyikan Indera Nata dalam sebuah peti emas. Puteri Cendera Kesuma meminta raksasa mencarikan gajah bergading emas supaya hati mereka cepat membesar untuk raksasa itu makan. Kedua raksasa itu lantas keluar mencari dan berjaya mendapatkannya. Raksasa pulang dengan gajah bergading emas. Sang puteri memberi alas an lagi supaya kedua raksasa itu mencari kijang betanduk emas dan memcuci sehelai kain hitam sehingga menjadi putih. Pada masa kedua raksasa itu keluar melakukannya, Indera Nata melarikan ketujuh-tujuh puteri bersama gajah bergading emas tadi. Kedua raksasa yang menyedari mereka telah ditipu, mengejar mereka hingga ke tepi laut. Betara Gangga yang pernah menyelamatkan bonda Indera Nata, muncul sekali lagi untuk menyelamatkan Indera Nata pula. Kedua raksasa itu mati dibunuh oleh Betara Gangga di dalam laut. Indera Nata pula selamat membawa ketujuh-tujuh puteri pulang ke rumah bondanya, Puteri Cendera Wati.

Raja Rom yang terpesona dengan kecantikan ketujuh-tujuh puteri dan keperkasaan Indera Nata mendapatkan gajah tersebut, mula khuatir Indera Nata mungkin akan merampas kerajaannya lalu baginda mencipta satu muslihat agar Indera Nata berjumpa ayah dan bonda baginda yang telah mangkat. Namun Puteri Cendera Wati bersama tujuh puteri yang menghidu niat jahat Raja Rom itu, berjaya memanipulasi keadaan tersebut. Mereka membuat satu patung yang menyerupai Indera Nata dan diperbolehkan patung tersebut hidup dengan menggunakan batu hikmat Betara Gangga. Patung tersebut dihantar ke dalam unggun api yang marak tanpa meninggalkan secebis tulang.

Raja Rom kemudiannya datang ke rumah Cendera Wati untuk mengambil ketujuh-tujuh puteri bersama gajah bergading emas namun terperanjat bila mendapati Indera Nata masih hidup. Indera Nata menceritakan keadaan syurga dan khabar ayah bonda baginda. Indera Nata memberitahu lagi bahawa arwah ayah dan bonda baginda mahu bertemu baginda sekeluarga. Raja Rom percaya lalu mengatur satu lagi pembakaran.

Patung Indera Nata di ciptakan sekali lagi untuk mengiringi Raja Rom bersama Si Batu Kembar dan Indera Jenaka. Mereka berempat kemudiannya memasuki unggun api yang marak itu lalu mangkatlah Raja Rom bersama Si Batu Kembar dan Indera Jenaka.

Setelah kemangkatan Raja Rom, bonda Indera Nata menceritakan bahawa Raja Rom sebenarnya ayahanda kepada Indera Nata. Cendera Kesuma kemudiannya menghidupkan kembali Raja Rom dengan batu hikmat Betara Gangga. Raja Rom yang hidup kembali diberitahu kisah sebenar yang berlaku pada Puteri Cendera Wati satu ketika dahulu. Raja Rom menyesal lalu berterima kasih pada semua.

Indera Nata yang kemudiannya berkahwin dengan ketujuh-tujuh puteri yang diselamatkan itu, rupanya dimusuhi oleh ketujuh-tujuh ayahanda mertuanya. Ketujuh-tujuh raja tersebut kemudiannya datang untuk menyerang Indera Nata namun setelah melihat keperibadian Indera Nata yang terlalu elok rupa paras dan terlalu tinggi budi pekerti itu, membatalkan hasrat ketujuh raja tersebut malah menganggap Indera Nata selayaknya menjadi menantu mereka.

Ketujuh-tujuh raja pulang ke Negara masing-masing namun mereka diserang pula oleh tunangan kepada puteri mereka. Ketujuh-tujuh raja memberikan sebab yang serupa kerana kesemua tunangan puteri-puteri tersebut tidak berani menyelamatkan puteri mereka dari cengkaman raksasa dahulu namun hanya berani menunjukkan muka setelah mengetahui puteri mereka kini menjadi milik Indera Nata.

Peperangan demi peperangan berlaku namun Indera Nata berjaya membantu semua ayahanda mertuanya menewaskan putera-putera bacul itu. Kesemua putera itu kemudiannya dilepaskan setelah berjanji mahu memberi ufti kepada kerajaan Rom.

Puteri Cendera Kesuma yang hamil tiga bulan pula mengidam buah pauh janggi. Indera Nata yang pergi mengembara mencari buah tersebut, dilanda musibah lalu hanyut ke sebuah pulau seorang diri. Indera Nata kemudiannya diselamatkan oleh seekor garuda yang menerbangkannya ke sebuah negeri bernama Negeri Cemara. Di sana, tinggal seorang puteri bernama Ratna Seri Kencana yang sangat cantik dan menjadi rebutan empat puluh putera raja yang datang melamar sehingga menyukarkan Raja Cemara membuat keputusan untuk puterinya yang seorang itu. Indera Nata kemudiannya menyamar sebagai Emas Bagang lalu memberi pendapat pada Raja Cemara. Dengan muslihat Emas Bagang, anak-anak raja itu berperang sesama sendiri hingga tinggal lima orang sahaja.

Di Rom pula, anak kepada Puteri Cendera Kesuma dan Indera Nata telahpun membesar menjadi seorang putera yang terlalu kacak dan tinggi budi pekerti dan dinamakan Indera Lelana. Indera Lelana yang telah berusia sembilan tahun kemudiannya keluar mengembara untuk mencari ayahandanya yang belum pulang.

Indera Lelana tiba di Negara Cemara lalu menumpang di rumah nenek kebayan yang kebetulannya menjaga kebun bunga milik Ratna Seri Kencana, puteri yang menjadi rebutan tadi. Ratna Seri Kencana yang singgah ke rumah nenek kebayan untuk memetik bunga, mula jatuh cinta dengan Indera Lelana.

Indera Lelana dan Ratna Seri Kencana kemudiannya bercinta tanpa pengetahuan Raja Cemara. Ketika rahsia terbongkar, kelima-lima raja yang menunggu penerimaan lamaran, menyerang Indera Lelana namun Indera Lelana terlalu hebat untuk dikalahkan. Raja Cemara akhirnya mengarahkan Emas Bagang menentang Indera Lelana.

Emas Bagang dan Indera Lelana bertarung tanpa mengalah. Kemudiannya Emas Bagang yang mula kehairanan melihat diri Indera Lelana seakan bayangan terhadap dirinya, bertanya asal-usul Indera Lelana. Terbuktilah Indera Lelana adalah anak kandungnya sendiri.

Raja Cemara yang mengetahui keadaaan tersebut sangat sukacita kerana puterinya akan berkahwin dengan anak raja termasyhur di dunia. Emas Bagang menukar kembali namanya kepada Indera Nata lalu membawa Indera Lelana dan menantunya Ratna Seri Kencana pulang ke Rom.

Setelah Ratna Seri Kencana hamil tiga bulan, baginda pula yang mengidam kijang emas. Indera Lelana yang keluar berburu terserempak dengan abang Si Batu Kembar. Kegagahan Indera Lelana akhirnya berjaya menewaskan keangkuhan abang Si Batu Kembar. Negeri Rom akhirnya menjadi semakin makmur, aman damai dan gilang-gemilang tanpa sebarang ancaman musuh.

Penghuraian Watak Utama

INDERA NATA

1. Pewaris Takhta Kerajaan Rom

-meskipun dibesarkan jauh dari kawasan istana, darah raja yang mengalir dalam tubuhnya seolah-olah memberikan satu aura istimewa

-sebagai anak raja, dia sering dibantu oleh alam dan kuasa ghaib seperti bantuan Betara Gangga, lembur dan naga, garuda dan sebagainya

2. Rupa Paras, Akal dan Budi Pekerti

-Indera Nata digambarkan mempunyai rupa paras yang gilang-gemilang

-Indera Nata juga mempunyai akal dan buah fikiran yang baik sehinggakan berjaya mempermudahkan masalah dengan muslihatnya

-Indera Nata turut mempunyai budi pekerti yang sangat tinggi hemahnya

-sesiapa yang melihat Indera Nata dikatakan akan terpesona dengan anak raja itu


3. Kegagahan dan Kesaktian

-Indera Nata adalah wira yang sangat gagah sehingga digambarkan hampir tiada apa yang mampu melemahkannya

-Indera nata mempunyai kesaktian dan kekebalan sehingga meskipun dicampakkan ke gunung, Indera Nata tetap mampu bangun semula dengan megah

Elemen Mitos

  1. Sang Raja memburu kijang bertanduk emas
  2. Raksasa yang mahu memakan hati sang puteri terpaksa menunggu sehingga puteri dewasa
  3. Sebuah batu hikmat yang mampu membolehkan sang puteri berjalan di atas laut
  4. Sang wira bertemu tujuh puteri yang diculik raksasa bersama gajah bergading emas, saling tak tumpah seperti apa yang dilukisnya sebelum itu
  5. Patung yang dicipta boleh dihidupkan dengan batu hikmat
  6. Raja yang mangkat dibakar boleh dihidupkan kembali dengan batu hikmat
  7. Sang wira bersendirian mampu menewaskan seekor raksasa yang tidak mampu ditewaskan oleh lima ratus orang
  8. Sang wira mampu menumpaskan angkatan tentera dari tujuh buah Negara secara bersendirian
  9. Kehadiran garuda yang menyelamatkan sang wira dari sebuah pulau